Tuesday, May 25, 2010

Siapa dia hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih???

Assalamualaikum...

Alhamdulillah untuk kesempatan kali ini ana nak kongsi tentang ciri-ciri hamba Tuhan yang Maha Pengasih. Insyallah semoga selepas ini kita sama-sama memperbaiki diri dengan berlandaskan tips yang Allah berikan dalam kitab sucinya. Alhamdulillah...Allah telah menurunkan Al-Quran kepada junjungan besar Rasulullah yang akhirnya disampaikan kepada kita-ummat Rasulullah. Betapa besarnya nikmat Al-Quran yang diturunkan Allah buat kita hamba-Nya yang lemah dan sentiasa lupa. Semoga kesempatan yang diberikan Allah buat kita, kita gunakan sebaiknya. Insyallah, tips untuk menjadi hamba Tuhan yang Maha Pengasih itu telah Allah wahyukan dalam surah Al-Furqan (25):63-74. Marilah kita sama-sama membaca, memahami dan mengamalkan ayat-ayat ini.

Surah Al-Furqan surah yang ke-25 ayat 63 sehingga 74 berbunyi "Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah......."

1) Orang-orang yang berjalan dibumi dengan rendah hati.
Allah Yang Maha Kuasa yang mana tidak ada kuasa lain yang setara dengan-Nya melarang hamba-Nya bersikap bongkak dan takbur. Apatah lagi kita hanyalah seorang hamba yang lemah dan sentiasa mengharapkan pertolongan dan rahmat dari Tuhan kita. Jadi siapa pun kita, apa pun darjat kita, seindah mana pun keturunan kita, sekaya mana pun kita, secantik mana pun rupa kita, kita masih dan sentiasa kekal sebagai hamba-Nya. Maka tidak layak untuk kita merasa gah dan meninggi diri sesama makhluk.

2) Apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan "salam".
Subhanallah, betapa Allah mengajarkan kita ummat islam untuk menjadi ummat contoh. Disaat orang mencemuh kita atau berkata tidak enak terhadap kita, Allah meminta kita membalasnya dengan kata-kata yang baik dan bersabar atas penghinaan yang kita terima. Rasulullah juga mengajar kita dengan sunnahnya yang telah terkisah dalam lipatan sirah. Bagaimana kaum musyrikin mekah menghina Nabi baik dengan perkataan maupun perbuatan, tetapi Nabi tidak pernah membalas hal yang serupa terhadap mereka. Namun sebaliknya ada diantara mereka telah Nabi ziarah ketika mereka sakit.

3) Orang-orang yang telah menghabiskan waktu malanya untuk beribadah.
Alhamdulillah, betapa Allah telah menjadikan malam untuk kita berehat dan mendekatkan diri kepa-Nya. Ibadah diwaktu malam ini dilakukan supaya manusia bergantung kepada Allah secara berterusan, dapat memberi kesan penghambaan dan kesan positif dalam diri kita. Selain itu, ibadah diwaktu malam juga insyallah memberi kekuatan kepada kita untuk menjalani hari-hari siang kita seperti mana firman Allah dalam surah Al-Muzzammil ayat ke 6 dan 7.
Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa);
dan (bacaan diwaktu itu) lebih berkesan.
Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk
dengan urusan-urusan yang panjang.

4) Orang yang berdoa agar dijauhkan azab api neraka darinya.
Sudah semestinya hamba yang berdoa meminta dijauhkan dari azab-Nya adalah hamba yang merasa gerun, gentar dan takut dengan siksaan Allah. Apabila hamba ini takut kepada azab Allah terlihatlah bahawa dia adalah diantara hamba yang sensitif terhadap amaran-amaran Allah dan hamba yang seperti ini akan cuba untuk mengelak dari melakukan perkara maksiat dan dosa. Selain itu, hamba seperti ini juga merupakan hamba Allah yang yakin terhadap apa yang diberitakan Allah didalam Al-Quran.

5) Orang yang menginfakan hartanya secara wajar.
Harta disini bukan semata-mata wang ringgit, malah juga tenaga dan masa yang ada. Allah juga sebenarnya sedang mengajar hamba-Nya membuat perancangan yang baik dalam kehidupan kerana Allah mengatakan orang-orang yang menginfakan harta mereka secara wajar adalah mereka yang tidak berlebihan dan tidak terlalu kikir (mengikut kemampuan kita). Namun apa-apa yang kita infakan mengikut kemampuan kita mestilah lillahita'ala (kerana Allah semata-mata), bukan untuk dipuji atau dihormati masyarakat sekeliling.

6) Orang-orang beriman hanya kepada Allah.
Nah, tidak syak lagi tanpa ciri yang ke-6 ini tidaklah kita menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, bukan itu saja keredhaan, rahmat, malah syurganya juga tidak akan diperolehi. Nauzubillah.

7) Tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali alasan yang benar.
Sudah semestinya hak mengambil nyawa itu adalah hak Allah, jadi mengapa kita sebagai hambanya cuba-cuba untuk mengambil hak itu dari Allah. Kecuali atas alasan yang benar dari Allah sahaja yang membolehkan kita melakukan hal tersebut.

8) Orang-orang yang tidak berzina.
Jelas islam melarang kita melakukan perbuatan zina. Bukan sahaja melakukan zina mendekatinya pun tidak diizinkan Allah. Ini kerana perbuatan zina akan memudharatkan diri, agama, bangsa dan negara. Akibat perbuatan zinalah banyak bayi-bayi hasil hubungan luar nikah yang dibuang. Bukan sekadar zina kemaluan yang kita perlu hindari, tetapi apa sahaja zina (mata, hati, fikiran, pendengaran) yang akhirnya menjerumus kepada zina kemaluan mesti dielakan.

9) Orang-orang yang bertaubat dan melakukan kebajikan.
Subhanallah, Allah Yang Maha Pemurah sentiasa memberi peluang kepada kita untuk memohon ampun dan bertaubat setelah kita melakukan kesalahan kerana kita bukanlah sempurna, kita pasti ada melakukan kesalahan dan kejahatan baik disedari maupun tidak. Bertaubatlah selagi hidup, dan kerjakanlah kebajikan yang membawa keredhaan Allah dalam hidup kita. Allah jberfirman bahawa apabila kita bertaubat dan melakukan kebajikan, insyallah kejahatan akan digantikan Allah dengan kebaikan. Jadi apa tunggu lagi, bertaubatlah sebelum terlambat.

10) Orang-orang yang tidak memberikan kesaksian palsu.

11) Mereka yang bertemu dengan orang -orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat , mereka berlalu dari situ.
Dalam hadis ke-12 hadis arba'in, dari Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. bersabda,"Diantara (ciri) sempurnanya keislaman seseorang adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat baginya." Jadi tuggu apa lagi, tinggalkanlah hal-hal yang tidak berfaedah itu.

12) Orang-orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Allah tidak bersikap seperti orang-orang yang tuli dan buta.
Firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 179: Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.

13) Orang-orang yang berdoa agar diberikan pasangan yang baik, keturunan yang baik dan menjadi pemimpin bagi orang yang bertakwa.

Alhamdulillah, begitulah tips yang telah Allah berikan kepada kita. Sudah semestinya untuk menerapkan ciri-ciri hamba Allah Yang Maha Pengasih didalam diri memerlukan kesabaran, mujahadah dan istiqamah. Allah tidak pernah lupa untuk terus memberi motivasi kepada hambanya untuk menjadi baik, sekali lagi motovasi Allah kepada hambanya adalah redha dan syurganya. Sesiapa yang berjaya menerapkan ciri-ciri hamba Allah Yang Maha Pengasih dalam kehidupannya ada syurga yang kekal abadi untuknya. Syurga yang sebaik-baik tempat menetap dan sebaik-baik kediaman. Subhanallah.





Thursday, May 20, 2010

Hakikat Penciptaan Manusia

Assalamualaikum...

Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang dberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sungguh Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan roh (ciptaan)-Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud. Al-Hijr(15):26-29

Subhanallahh…sahabat-sahabat sekalian, didalam surah tersebut telah Allah nyatakan tentang 2 unsur penting didalam proses penciptaan seseorang manusia.
1. tanah liat kering dari lumpur hitam.
2. roh yang ditiupkan didalam diri.

Subhanallah dengan kekuasan dan kebijaksanaan Allah, Dia telah menciptakan kita dari tanah liat yang telah Allah gambarkan tanah liat itu dari lumpur hitam. Subhanallah dengan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya kita yang boleh bergerak bebas, melakukan apa sahaja yang kita inginkan, sampaikan kadang-kadang segala yang telah diharamkan oleh Allah juga turut kita lakukan. Subhanallah dengan kekuatan Allah yang Maha Besar, tanah liat dari lumpur hitam ini telah berjaya menjadi manusia yang akan mentadbir alam-Mu ya Allah. Tetapi sahabat, bukan sekadar tanah liat dari lumpur hitam sahaja yang ada pada kita, tetapi Allah juga telah meniupkan roh yang suci, yang bersih kedalam jasad kita.

Subhanallah...Subhanallah...Subhanallah. Ternyata dari sesuatu benda yang dipandang buruk oleh kita, Ya! Tanah liat dari lumpur hitam tadi...Allah juga telah meniupkan kepada kita roh yang tinggi nilainya yang datang dari Allah. Kemudian setelah itu, ditentukan oleh Allah garis takdir seseorang hambanya, rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan akan menjadi orang sengsara atau bahagia. Allahuakhbar, begitulah yang telah Rasulullah katakan di dalam hadith beliau yang telah direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Disini ada dua yang berlawanan sifat yang ada didalam diri kita, yang buruk dan dipandang hina serta yang tinggi dan suci terus dari sisi Illahi. Sepatutnya kita merasa perlu untuk mempertahankan dan menjaga yang roh kita kerana ianya dari tempat yang tinggi, dari sisi Illahi, yang mana ianya suci dan bersih. Namun kenyataannya kita lebih mengutamakan tanah liat dari lumpur hitam yang ada dalam diri kita. Tanah liat dari lumpur hitam itulah yang telah menjadi tubuh badan kita yang selama ini kita begitu mengambil berat sampaikan kita lupa pada roh yang suci dan datang dari sisi Illahi. Roh kita sering kelaparan, dahaga, dan lemah kerana kita jarang menjaganya bahkan ada diantara kita tidak lansung mengambil berat padanya.

Sahabat, roh adalah ciptakan yang tinggi dari sisi Allah. Roh tidak perlukan sesuatu hal duniawi tetapi yang diperlukan roh adalah yang datang dari Allah. Tentunya yang datang dari roh adalah Al-Quran, zikrullah, syariat-syariat Allah dan apa yang disampaikan oleh Nabi dalam sunnahnya, itulah yang diperlukan roh kita. Apakah kita telah memberikan itu semua pada roh kita? Sahabat segeralah lihat kembali roh kita, tata kembali roh kita. Jangan sampai apabila roh sudah muak berada didalam jasad yang tidak mengambil berat tentangnya dan dikala itu takdir Allah untuk menariknya kembali baru kita ingin menyesal. Jangnn kita menjadi seperti golongan yang telah dikatakan Allah dalam ayat-Nya. Golongan itu adalah mereka-mereka yang terlambat menyesal dan diminta untuk dikembalikan kedunia untuk melakukan ibadah kepada Allah. Mereka-mereka yang meminta Allah untuk menagguhkan seksaan atas dosa yang telah dilakukan. Nauzubillah.

Sahabat tidakkah kita takut seandainya kitalah hamba yang telah Allah gambarkan didalam surah Al-Mu’minun. Hamba yang Allah akan tinggalkan dengan hina dan Dia tidak mahu berbicara dengan kita, sedihnya sahabat, tidak terasakah kita.

Dia (Allah) berfirman, ”Tinggallah dengan hina di dalamnya (neraka), dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.”Al-Mu’minun(23):108

Allah yang pada-Nya punya kasih sayang 10 kali ganda seorang ibu, tiba-tiba mengatakan yang Dia akan tinggalkan kita dengan hina dan tidak mau bercakap dengan kita. Bukankah ini semua kerana dosa yang telah kita lakukan. Jika ini terjadi, apa lagi yang tinggal untuk kita, bukankah selama ini dengan rahmat-Nya dan rahim-Nya kita hidup, berjalan, belajar, melakukan segala aktiviti kita.

Marilah sahabat kita kembali muhasabah diri. Lihatlah pada diri kekurangan amalan kita. Tambahlah demi Allah. Janganlah kita semata-mata menjaga jasad kita, berilah perhatian juga pada roh kita dengan bacaan Al-Quran, menjaga syariat Allah dan mengikut sunnah Rasulullah. Kesianlah padanya, dia lemah kerana kita tidak mempedulikannya. Kembalilah kita melakukan apa yang disuruh Allah dan Rasul, kerana hal-hal itulah yang akan menguatkan roh kita. Sesungguhnya sahabat, kita masih lagi punya kesempatan waktu, selagi belum ajal kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Dia Maha Penyayang. Bertaubatlah dan ingatlah hakikat penciptaan kita. Walaupaun dalam diri kita terdiri dari tanah liat dari lumpur hitam, tetapi Allah meninggikan kita dengan roh yang suci, bersih dan datang dari tempat yang tinggi di sisi Illahi.

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami,sayangilah mereka ya Allah, seperti mana mereka mendidik dan menyayangi kamisewaktu kami kecil.

Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah petunjuk kepada kami agar kami dapa bersyukur atas nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan kepada kedua ibu bapa kami dan agar kami dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai. Kurniakanlah kepada kami ya Allah kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu kami. Sesungguhnya kami bertaubat kepada-Mu dan kami adalah bahagian dari orang muslim.